Di Facebook kalau di Timeline saya sendiri, status yang dipos adalah 99.9% berunsur marah, geram dan kecewa. Termasuk status yang di share dari Timeline tokoh-tokoh yang berkarisma. Ala hanya 20 sen.. apahal nak kecoh-kecoh. Itu hujah orang yang tak pandai Ilmu Hisab atau Matematik atau saja-saja buat tak pandai kerana mungkin dia adalah tokeh stesen petrol.
Rakyat marah dan geram kerana Malaysia adalah negara OIC, iaitu negara pengeluar petroliam. Petronas saban tahun mengistiharkan keuntungan berpuluh billon ringgit setahun, tetapi manfaatnya kepada rakyat hanyalah dibebani oleh kenaikkan harga petrol, alasannya mudah iaitu harga petrol dunia telah naik, orang tidak sekolah tinggi pun merasa pelik dengan kenyataan tersebut.. apa kejadahnya sebagai pengeluar petroliam tetapi harga petrol mengikut harga dunia, Petronas untung besar tetapi harga petrol di Malaysia adalah yang ke 8 termurah di dunia jika di bandingkan dengan Singapura dan Thailand yang tidak ada telaga minyak?
Harga RON95 dan Diesel masing-masing naik 20 sen, diikuti oleh RON97 yang naik 15 sen secara senyap-senyap selepas itu.
Secara terus terang saya bukan benci kerajaan tetapi meluat dengan jawapan-jawapan yang tidak berilmiah, agak sombong dan tidak berfikir seperti slogan "Rakyat Didahulukan" dari segelintir menteri kabinet. Pada pandangan saya yang daif ini, ianya bukan berpunca dari BN atau UMNO tetapi ianya terjadi kerana kelemahan individu yang mengurus dana kewangan negara. Kenapa ianya bukan salah BN dan UMNO? Kalau saya salah tolong betulkan, kalau anda berpeluang membaca perlembagaan UMNO atau BN, ianya boleh dikatakan 100% adalah bertujuan menjaga kebajikan rakyat, tidak ada satu pun perenggan yang mengatakan rakyat perlu dizalimi. Jadi jika di tunding kepada UMNO atau BN ianya tidak tepat, tetapi seharusnya kepada individu yang mengurus organisasi tersebut.
Apa Alasanya dan Impak Kepada Rakyat
PM berkata ianya untuk mengukuhkan ekonomi dan hanya 20 sen sahaja dinaikkan selepas 2 tahun tidak dinaikkan. Impak kepada rakyat sangat kecil kata menteri KPNDKK iaitu hanya 0.01% dan tidak akan membebankan rakyat. Ada yang sangat cerdik pula berkata dulu subsidi 83 sen dipotong 20 sen .. mana ada kenaikkannya .. hanya subsidi sahaja yang dipotong. Kenyataan di media sosial oleh seorang pemberita TV3 yang sangat cerdik seperti Pak Pandir berkata-kata. Agak-agaknya apa komen si badut TV3 ini, mengenai duit rakyat yang berjumlah RM250 juta untuk menternak lembu tetapi digunakan untuk membeli kondo?
20 Sen Apa Akibatnya?
20 sen pada zaman saya kecik-kecik dulu pada akhir tahun 70an , amat bernilai bagi kanak-kanak sekolah kerana saya boleh beli 4 jenis makanan dan minuman. 1 pinggan nasi lemak atau mee goreng berharga 1 sen setiap satu. Tengah hari time tunggu bas boleh beli ais kepal yang berharga 5 sen dan baki 5 sen untuk tambang bas untuk pulang ke rumah.
Kini 20 sen hanya untuk 1 atau 2 biji gula-gula, tetapi berbeza bagi petrol kerana rata-rata dari kita yang mengisi petrol bukan hanya 1 liter tetapi sekurang-kurangnya 20-40 liter mengikut kapasiti engine kereta masing-masing. Contohnya saya sendiri mengisi petrol sekurang-kurangnya 40 liter sekali isi dan saya perlu mengisi semula selepas 3-4 hari selepas itu. Ha!! lihatlah implikasi 20 sen itu .. perkiraan mudahnya begini, dulu harga petrol seliter RM1.90 x 40 liter = RM76 tapi kini RM2,10 x 40 liter = RM84. Perbezaannya RM8. Nampak sikit kan... ok saya akan isi selepas 3 hari, ini bermakna dalam sebulan saya akan isi sebanyak 6 kali. 6 kali isi x 8 = RM48. Kalau nak tambah parah mari kita darab 12 bulan x RM48 = RM576!!! dan paling malang saya tidak layak untuk memohon BR1M, kalau layak pun, saya mungkin tidak akan mendapatnya kerana saya bukan geng orang UMNO walaupun saya ahli UMNO.
PM Kata Kenaikan Demi Ekonomi Negara.
PM umumkan kenaikan harga RON95 dan berjanji akan memberi BR1M yang mungkin lebih dari RM500. Belanjawan tahun 2014 akan diumumkan didalam masa terdekat ini. Tiba-tiba terdengar pula ura-ura akan ada pemansuhan cukai jalan bagi kenderaan 2000 cc kebawah. Dari pandangan orang yang tak mau mengira atau tidak suka membaca, mereka akan melonjak-lonjak gembira kerana kerajaan amat perihatin dengan masalah rakyat. Berbeza dengan orang yang rajin mengira dan membaca. Motif naikkan harga petrol 20 sen untuk kawal ekonomi tetapi kenapa perlu belanja untuk BR1M? Kenapa perlu mansuh cukai jalan tidak kah itu juga wang bagi pendapatan kerajaan?
20 Sen dan Impak Berantainya
Kenapa para bijak pandai tidak bersetuju harga petrol dinaikkan? Kenaikkan harga petrol akan mengakibatkan rantaian kenaikkan harga barang dan perkhidmatan. Ini bermakna jika tadi saya telah kerugian RM576 setahun akibat kenaikkan 20 sen RON95 maka saya akan kerugian lebih lagi dari kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Secara mudahnya jika saya gaji saya RM3000 sebulan, ini bermakna nilai gaji saya sekarang sudah susut ke RM1500 atau lebih rendah, tambahan pula saya tinggal di Lembah Kelang yang semuanya serba mahal. Walaupun jika saya layak terima BR1M RM500, ianya hanya sekali sahaja didalam setahun dan jika cukai jalan kereta saya ialah RM100, itu pun hanya sekali setahun, adakah wang-wang itu mampu menampung pengecutan wang pendapatan saya itu? Cuba bayangkan jika pendapatan hanya RM3000 dan perlu menampung isteri dan anak-anak yang ramai... adakah PM dan menteri KPNDKK mengkaji semua ini. Sudahlah duit zakat pun tidak sampai ke sasaran walaupun kutipan berpuluh juta setiap tahun, jika duit zakat diagih secara telus, saya amat pasti ianya lebih baik dari BR1M.
20 sen nampak kecil tetapi impaknya sangat tinggi kepada rakyat marhaen yang mengundi para pemimpin tertinggi negara sekarang. Ia merupakan kegagalan pengurusan mengurus tadbir kewangan tetapi kesalahan itu dihempap ke kepala rakyat..... Jika demi mengukuhkan ekonomi Malaysia pun, masih terdapat pelbagai cara lain yang boleh dilaksanakan. Tetapi mengapa perlu "mengusik" harga komoditi yang mempunyai rantaian "penyakitnya".
No comments:
Post a Comment